BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 9 Mei 2019 – Oleh kerana tidak mempunyai sebarang kewangan untuk membeli kenderaan, seorang suspek lelaki tempatan nekad melakukan curi dengan membawa lari sebuah kereta jenis Toyota Starlet pada 30 April 2019 yang telah diletakkan di kawasan Spg 143, Kampong Bebatik Kilanas, Daerah Brunei dan Muara.
Kereta yang dilaporkan hilang berjaya dikesan oleh pemilik kereta. Kereta tersebut sedang dipandu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan Stesen Minyak Bunut. Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut.
Semasa siasatan dijalankan, pihak polis berjaya menahan lagi seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini.
Suspek pertama bernama Pg Rudy bin Pg Julaihe berumur 40 tahun dan tidak bekerja.
Suspek kedua bernama Shopian bin Hj Chuchu berumur 45 tahun warganegara tempatan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 8 Mei 2019 bagi sebutan kes.
Hasil daripada perbicaraan tertuduh bernama Shopian bin Hj Chuchu telah mengaku bersalah melakukan curi kereta tersebut di Kg Bebatik Kilanas dan dijatuhi hukuman penjara selama 1 tahun dan denda sebanyak BND$1000 ringgit di Penjara Maraburong yang bermula pada tarikh 9 Mei 2019.
Manakala tertuduh Pg Rudy bin Pg Julaihe dilepaskan dengan ikat jaminan Mahkamah dan perbicaraan selanjutnya akan ditetapkan kemudian.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
