LIMAU MANIS, Isnin 6 Mei 2019 – Pasukan Polis Simpanan C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menggagalkan dua (2) kes penyeludupan barang tegahan dan penemuan dadah terkawal di dua (2) kawasan berasingan di Jalan Tikus, Junjongan Satu, Limau Manis Daerah Brunei dan Muara.
Hasil daripada rondaan ‘Operasi Langkah’ yang dijalankan itu telah berjaya memberkas 2 orang lelaki tempatan bernama :
Suspek Pertama : Muhammad Khairol Faiz bin Awang Bujang berumur 23 tahun bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan dan didapati menyeludup masuk beberapa katon rokok tegahan.
Suspek Kedua : Abdul Hafiz bin Hj Muhammad Irwan berumur 30 tahun bekerja di salah sebuah Syarikat Perkapalan didapati telah memiliki barang tegahan dipercayai Dadah Terkawal Syabu.
Dalam tangkapan itu juga, Pihak Polis telah berjaya merampas sejumlah 13 katon rokok pelbagai jenama dan 1 paket plastik dipercayai mengandungi dadah terkawal.


Kesemua barang-barang rampasan dibawa ke Balai Polis Limau Manis dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
