KUALA BELAIT, Sabtu 4 Mei 2019 – Satu serbuan yang menjalankan kegiatan perjudian telah berjaya dikendalikan oleh Keanggotaan Special Duties Ibu Pejabat Daerah Polis Belait bersama keanggotaan Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 4 Mei 2019 bertempat di alamat No 6 Spg 409 Jalan Maulana, Kuala Belait. 

Operasi yang dijalankan pada sekitar jam 5 petang tersebut berhasil menyerbu sebuah rumah kediaman yang didapati menjalankan kegiatan perjudian 4 digit loteri. 

Hasil daripada serbuan itu juga telah memberkas seorang suspek perempuan dipercayai ejen mengutip taruhan perjudian 4D dan 2 orang suspek lelaki dipercayai pembeli 4D loteri. 

Suspek pertama bernama Kong Mee Yin, penduduk tetap berbangsa cina berumur 49 tahun dan berniaga sendiri. 

Suspek kedua bernama Dolal warganegara Bangladesh berumur 31 tahun dan bekerja sebagai buruh. 

Manakala suspek ketiga bernama Elizar T Cabutotan warganegara Fillipina berumur 54 tahun dan bekerja sebagai tukang kayu. 

Pihak Polis turut merampas barangan bukti di tempat kejadian iaitu sejumlah wang tunai dipercayai digunakan untuk pertaruhan, kepingan kertas slip pertaruhan serta perkakas perjudian. Kesemua tangkapan serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Belait bagi siasatan lanjut.   

Kes siasatan ini disiasat di bawah Seksyen 4 (C) dan Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi terbuka Penggal 28.  

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram ini untuk diambil tindakan segera dan akan dihukum setimpalnya berdasarkan undang-undang yang telah diperuntukkan di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI