SUNGAI LIANG, Ahad 28 April 2019 – Beberapa barangan kemas seperti rantai, gelang emas serta 1 unit komputer riba telah berjaya ditemui kembali apabila telah dilaporkan hilang pada sekitar bulan Mac dan April yang lalu dipercayai dicuri bertempat dua lokasi yang berasingan di kawasan Sungai Liang, Daerah Belait. 

Penemuan barang bukti tersebut adalah hasil daripada penahanan yang dibuat oleh keanggotaan Balai Polis Sungai Liang ke atas seorang lelaki remaja berumur 15 tahun dipercayai terlibat melakukan kegiatan curi di dalam sebuah rumah dan di dalam sebuah kereta. 

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 27 April 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi dan Curi di dalam Bangunan. 

Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah memutuskan bagi suspek ditahan reman selama satu bulan di Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) bagi menjalani penilaian sebelum menantikan sebutan kes selanjutnya. 

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan kepada para ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka agar tidak mudah terpengaruh dan terjerumus dengan sebarang aktiviti-aktiviti negatif yang boleh sahaja mengheret mereka ke kancah jenayah di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI