TEMBURONG, Khamis 25 April 2019 – Satu aduan kes berkenaan kehilangan sebuah perahu milik persendirian telah dilaporkan ke Balai Polis Bangar pada 19 April 2019 yang lalu bertempat di kawasan tempat penurunan perahu Kg Biang, Daerah Temburong.
Siasatan yang telah dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar telah berhasil menahan (2) orang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut. Kedua-dua suspek merupakan warganegara tempatan bernama;
1) Suspek Pertama, Awangku Muhammad Najmuddin bin Pengiran Alias berumur 24 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan
2) Suspek kedua, Dahlan bin Haji Tamin berumur 41 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Hasil daripada siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek mengakui telah melakukan curi ke atas perahu tersebut dan menyimpannya di kawasan halaman rumah salah seorang daripada suspek tersebut. Perahu tersebut berjaya ditemui kembali dan dibawa ke Balai Polis Bangar untuk dijadikan barang bukti dan siasatan lanjut.
Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah, Bandar Seri Begawan pada 24 April 2019 yang mana Pihak Mahkamah telah meluluskan permohonan bagi kedua tertuduh ditahan reman sehingga 27 April 2019 bagi membantu pihak Polis menjalankan siasatan.
Semasa siasatan lanjut dijalankan, pihak Polis telah berjaya membuat penahanan ke atas seorang lagi rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dengan kejadian berkenaan.
Suspek ketiga iaitu Mukrim bin Lamit warganegara tempatan berumur 36 tahun telah berjaya ditangkap pada 25 April 2019 dan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi dibicarakan.
Pasukan Polis Diraja Brunei amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh orang ramai dalam penyaluran maklumat yang memberikan implikasi yang sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
