BRUNEI MUARA, Selasa 23 April 2019 – Seorang wanita warganegara asing telah diberkas dalam satu serbuan pihak Polis dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di sebuah bilik di Hotel LeGallery Suites kerana dipercayai telah terlibat menjalankan kegiatan yang tidak bermoral iaitu khidmat seks.
Semasa serbuan tersebut pihak Polis telah mendapati beberapa barang bukti seperti sejumlah wang tunai, minyak pelincir serta beberapa kepingan kondom di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tersebut.
Pham Thu Trang warganegara Viet nam berumur 25 tahun telah berada di negara ini sejak 26 Mac 2019 yang lalu dengan menggunakan pas pelawat.
Suspek dan semua barang bukti telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau kegiatan memberikan perkhidmatan seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa ada mempunyai sebarang maklumat mengenainya agar melaporkan ke talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
