TUTONG, Khamis 19 April 2019 – Tiga pendekatan dan dua rondaan pencegahan jenayah Pengawasan Kejiranan (PK) dipergiatkan dan dipertingkatkan dalam usaha mewujudkan perhubungan erat di antara Pasukan Polis Diraja Brunei dan masyarakat di negara ini. 

Keanggotaan Balai Polis Tutong bersama Unit Pengawasan Kejiranan (PK) yang diketuai Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Percubaan (P/Insp) Abdul Hakim bin Haji Mohd Salleh membuat pendekatan ke kediaman Timbalan Pengerusi PK Penabai, Awang Haji Akop bin Haji Ismail @ Haji Ya’akub.  

Perkongsian pendekatan bagi membincangkan mengenai tren jenayah terkini serta aktiviti-aktiviti kebajikan dan sosial PK yang akan datang. 

Seterusnya dijalankan rondaan pencegahan jenayah secara berjalan kaki di sekitar kawasan penurunan perahu hujung Kuala Tutong dan di kawasan Jalan Penabai Kampung Kuala Tutong.  

Manakala, Focal Point Balai Polis Lamunin bersama ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Lamunin menjalankan rondaan di kawasan Jalan Kecil Bukit Barun, Jalan Piasan dan Jalan Lamunin Barat. 

Mengetuai rondaan Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Percubaan (P/Insp) Ak Md Waie @ Ak Fathurahman bin Pg Abdullah Sani dan empat orang anggota balai. Turut hadir Ketua Kampung Lamunin, Yang Mulia Mejar (B) Said bin Haji Tinggal bersama dua orang ahli PK. 

BELAIT– Focal Point Balai Polis Kuala Belait juga membuat lawatan pendekatan ke rumah Ketua Kampung Pandan A Kuala Belait, Yang Mulia Haji Sulaiman bin Haji Udin. 

Perisian lawatan tersebut mengenai aktiviti kebajikan dan sosial seperti bergotong royong untuk membersihkan kawasan Masjid Kampung Pandan serta majlis tahlil dan doa arwah sekampung yang akan diadakan sebelum menjelang bulan Ramadhan. 

MERAGANG – Tidak ketinggalan dari Unit Pengawasan Kejiranan Focal Point Balai Polis Muara membuat lawatan serta pemantauan ke rumah Pemangku Ketua Kampung RPN Kg Meragang, Yang Mulia Muhammad Hadi Muslim bin Abdullah semasa penyerahan buah kurma kepada penduduk-penduduk kampung. 

Program PK ini akan sentiasa diaktifkan secara berterusan dalam memainkan peranan pencegahan jenayah bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kejiranan masing-masing serta bertindak mengurangkan peluang dan mengambil tindakan-tindakan untuk mencegah jenayah daripada berlaku. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI