SUNGAI LIANG, Ahad 14 April 2019 – Satu aduan kes hilang kenderaan telah dilaporkan ke Balai Polis Sungai Liang pada 10 April 2019 bertempat di kawasan letak kereta, Bangunan Lim Kui Hong, Soon Lee Sg Liang, Daerah Belait.
Menurut mangsa (pemilik kereta), semasa meninggalkan kereta tersebut ianya dalam keadaan berkunci dan kunci kereta tidak pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
Siasatan telah dijalankan dan berhasil menahan seorang remaja lelaki warganegara tempatan berumur 14 tahun dan masih bersekolah dipercayai terlibat dengan insiden berkenaan.
Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan curi ke atas kereta tersebut dan telah menukar plat pendaftaran kenderaan dengan nombor pendaftaran yang asal bagi mengelak dari dikesan.
Kereta yang hilang telah berjaya ditemui kembali dan dibawa ke Balai Polis Sungai Liang bagi dijadikan bahan bukti dan siasatan lanjut. Suspek akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana melakukan curi kenderaan.
Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menekankan kepada orang ramai terutama sekali kepada ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau apa jua kegiatan anak-anak bagi mengelak mereka daripada terjerumus dengan gejala yang negatif dan berbaur jenayah. Pihak Polis juga tidak akan teragak-agak dalam menjalankan tindakan dan menegakkan undang-undang di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
