BANGAR, Sabtu, 26 September 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya merampas sejumlah barang tegahan dalam dua kejadian berasingan yang berlaku sekitar jam 11 malam pada 26 September dan jam 8 pagi pada 27 September di Daerah Temburong.
Dalam kejadian pertama, hasil daripada risikan dan pemantauan anggota Balai Polis Bangar, sepasukan anggota berjaya mengesan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Batang Tuau. Kedua-dua kenderaan tersebut berjaya ditahan bersama dua orang lelaki warganegara tempatan berumur 25 dan 26 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan membawa barang-barang tidak diisytiharkan, iaitu sebanyak 24 botol dan 53 tin minuman keras serta 80 karton rokok.
Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira jam 8 pagi, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bungkusan kotak di kawasan Bangunan Padang dan Balapan Kompleks Sukan Temburong. Pemeriksaan teliti menemukan dua kotak yang dipercayai mengandungi barang tegahan. Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan kotak-kotak tersebut berisi 100 karton rokok.
Kesemua suspek serta barang rampasan daripada kedua-dua kejadian berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sehubungan itu, PPDB menyeru orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau pengedaran barang tegahan. Tindakan berterusan dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.




Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
