BRUNEI MUARA, Sabtu, 31 Mei 2025 – Dalam satu usaha bersepadu yang melibatkan Polis Marin (POLMAR) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), serta Biro Kawalan Narkotik (BKN), dua operasi serentak telah dijalankan berdasarkan maklumat daripada orang awam. Operasi tersebut berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barang-barang tegahan melalui kawasan perairan negara. 

Operasi pertama, awal pagi iaitu satu maklumat telah diterima berkenaan sebuah perahu mencurigakan yang dipercayai membawa barang tegahan memasuki perairan Sungai Riong. Tindakan pantas oleh Bot TDDB dan Bot Peronda POLMAR telah memintas bot tersebut. Dalam usaha melarikan diri, bot suspek melanggar jeti dan sebahagian barang tegahan terjatuh ke dalam air. Suspek kemudiannya memecut ke arah sempadan dan gagal dikesan. 

Pemeriksaan lanjut dan hasil daripada rampasan oleh anggota operasi menemui barang tegahan sebanyak 200 katon dan 9 paket rokok pelbagai jenis. 

Dalam Operasi kedua, satu lagi bot mencurigakan telah dikesan cuba memasuki melalui kawasan perairan Sungai Bunga. Tindakan pantas pasukan operasi berjaya memintas bot tersebut di kawasan perumahan kampung. Suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam air dan menuju ke kawasan hutan bakau. Usaha pencarian telah dilakukan namun suspek gagal dikesan. 

Pemeriksaan ke atas bot mendapati 700 katon dan 1 paket pelbagai jenis beserta 24 botol dan 95 tin minuman keras pelbagai jenama. Semua barang tegahan dari dua operasi tersebut telah diserahkan kepada JKED untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 146(1) (d) Perintah Eksais 2006. 

Agensi penguatkuasa undang-undang negara ini amat menghargai kerjasama dan sokongan orang ramai dalam membanteras jenayah, khususnya di kawasan perairan. PPDB dan agensi penguatkuasa lain kekal komited memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin. Kawalan dan rondaan akan terus dipertingkatkan bagi menghalang sebarang anasir jahat daripada mengambil kesempatan menjalankan aktiviti haram melalui perairan negara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​