TEMBURONG, Isnin 26 Mei 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Bangar berjaya mematahkan cubaan membawa barang tegahan susulan aksi kejarmengejar di kawasan Bangar semalam, 26 Mei 2025. Dua suspek tempatan telah ditahan dan sejumlah besar rokok serta minuman keras telah dirampas. 

Semasa menjalankan pemantauan di sekitar Bangar, pihak PPDB telah menjumpai sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Apabila diarahkan untuk berhenti, pemandu kenderaan tersebut enggan mematuhi arahan polis, mencetuskan aksi kejar-mengejar. Kenderaan suspek akhirnya berjaya dipintas dan ditahan di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien. 

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut mendedahkan penemuan beberapa bungkusan plastik hitam yang mengandungi sejumlah besar barang tegahan. Hasil siasatan terperinci mengesahkan rampasan tersebut iaitu: 

• 300 karton rokok 

• 480 tin minuman keras 

• 12 botol minuman keras 

Dua suspek, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun, telah ditahan berhubung kes ini. Kesemua barang tegahan dan kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

PPDB ingin menggesa orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang di negara ini. Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Polis 993 atau melaporkan terus ke mana-mana Balai Polis berdekatan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI