GADONG, Khamis 26 Disember 2024 – Majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim bagi warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah diadakan bertempat di Dewan Bankuet Mess PPDB Ibu Pejabat Polis Gadong pada 25 Jamadilakhir 1446H bersamaan 26 Disember 2024M.
Majlis berkenaan telah di kendalikan oleh Badan Kebajikan Am Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) yang melibatkan seramai 76 orang anak-anak yatim PPDB.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan derma ialah Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong isteri kepada Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei selaku Pengerusi PEKERTI.
Turut hadir bagi sama-sama menyampaikan derma berkenaan ialah Yang Mulia Dayang Rokiah binti Joly @ Julai selaku Pengerusi Badan Kebajikan Am PEKERTI beserta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI yang lain.
Tabung anak-anak yatim PEKERTI telah ditubuhkan sejak tahun 2007 dan dana kewangan tabung diperolehi daripada sumbangan dari pegawai serta ahli-ahli Pasukan Polis Diraja Brunei sendiri, orang-orang perseorangan dan juga kutipan-kutipan derma tabung dari orang ramai. Tabung tersebut ditubuhkan dengan hasrat murni untuk membantu anak-anak yatim khususnya anak-anak kepada pegawai dan anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah meninggal dunia bagi mengenang jasa mereka semasa berkhidmat di dalam Pasukan Polis Diraja Brunei. Sesuai dengan objektifnya, penyampaian derma kali ini berhasrat untuk meringankan beban para ibu tunggal dan penjaga anak-anak yatim berkenaan untuk membuat persiapan awal bagi musim persekolahan pada tahun 2025. Majlis seumpama ini dijadikan sebagai aktiviti tahunan PEKERTI dan merupakan salah satu usaha untuk menyalurkan sumbangan ikhlas khusus kepada anak-anak yatim PPDB.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
