GADONG, Rabu 24 Disember 2024 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama agensi penguatkuasa undang-undang negara ini yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah giat melaksanakan operasi bersepadu sekatan jalanraya di beberapa tempat di Negara Brunei Darussalam.

Balai Polis Lamunin telah mengadakan operasi bersepadu berkenaan di kawasan Bukit Barun, Jalan Lamunin yang mana telah dikendalikan oleh Yang Mulia ASP Ivy Han. Manakala di sebelah petang pula, kira-kira dalam jam 2:00 petang, Balai Polis Seria juga mengadakan operasi yang sama, dikendalikan oleh Yang Mulia ASP Muhd Zulfadli di kawasan Lebuhraya Mumong Hala ke Seria.

Operasi-operasi tersebut telah berhasil mendapati kesalahan-kesalahan dibawah Akta Laululintas Jalanraya, seperti memandu tanpa lesen dan cermin kereta gelap (tinted) yang tidak dibenarkan. Selain dari itu, kesalahan dibawah akta kastam juga telah didapati iaitu memiliki barang yang ditegah seperti rokok.

Operasi ini adalah antara operasi-operasi yang dijalankan pada musim hujung tahun ini dan ianya bertujuan sebagai usaha untuk memastikan jalanraya tempat yang selamat untuk pengguna-pengguna jalan raya serta bertujuan untuk menjalankan pencegahan jenayah.

PPDB sentiasa memberi peringatan serta menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas demi keselamatan semua. Disamping itu juga, di musim akhir percutian sekolah dan penghujung tahun, PPDB ingin menyarankan orang ramai untuk mengamalkan kewaspadaan dan memastikan keselamatan rumah terutamanya semasa meninggalkan rumah dalam jangka masa panjang.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI