BRUNEI MUARA, Rabu 13 November 2024 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengeluarkan amaran dan makluman penting kepada orang awam mengenai beberapa kes penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai bank dan polis.
Modus operandi penjenayah bermula dengan panggilan telefon yang mendakwa terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun bank mangsa. Panggilan ini kemudiannya “dipindahkan” kepada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, yang seterusnya meminta maklumat peribadi mangsa, termasuk butiran perbelanjaan dan penggunaan kad. Penjenayah kemudiannya akan menakut-nakutkan mangsa dengan dakwaan penglibatan dalam kegiatan jenayah dan nama mangsa tersenarai dalam waran tangkap. Mangsa diarahkan untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara ini dan diminta untuk berkomunikasi melalui aplikasi Telegram.
BSJS menasihati orang ramai untuk tidak sekali-kali mengongsikan maklumat peribadi, gambar, atau butiran akaun bank dengan sesiapa melalui telefon atau aplikasi social media kepada orang yang tidak dikenali. Sekiranya menerima panggilan mencurigakan yang menggunakan taktik sebegini, laporkan segera kepada balai polis yang berhampiran. Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat peribadi mereka.
PPDB komited dalam usaha membanteras penipuan ini, termasuk skim ‘Phishing Scam’ dan ‘Macau Scam’. Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam meningkatkan kesedaran mengenai taktik penipuan ini di kalangan keluarga dan rakan-rakan. Kesedaran dan kewaspadaan bersama adalah kunci untuk mencegah jenayah sebegini daripada terus berleluasa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
