BRUNEI-MUARA, Khamis 17 Oktober 2024 – Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus giat menjalankan rondaan dan operasi di perairan Negara Brunei Darussalam dalam usaha untuk mencegah dan membenteras sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hasil dari usaha ini telah berjaya mematahkan satu percubaan membawa masuk barang tegahan melalui perairan negara.

Pada kejadian sekitar jam 1115hrs, bot Polis Marin telah mengesan dua buah perahu yang mencurigakan bergerak laju dari sempadan negara jiran masuk ke perairan Sungai Brunei. Kejar mengejar berlaku akhirnya telah berjaya memintas dan menahan sebuah perahu suspek.

Pemandu perahu tersebut yang juga seorang lelaki tempatan cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam air, walau bagaimanapun dapat dikesan dan ditahan oleh anggota PolMar. Manakala sebuah lagi perahu dapat melarikan diri menuju ke luar sempadan sempadan negara.

Hasil siasatan mendapati perahu sarat mengandungi barang-barang tegahan iaitu 908 karton rokok, 33 karton dan 60 botol minuman keras, 2 biji Vape dan wang tunai berjumlah $110.00 ringgit Brunei.

Kes disiasat mengikut Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Okt serta kesemua barang-barang tegahan termasuk perahu diserahkan ke Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk tindakan selanjutnya.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI