TEMBURONG, Khamis 17 Oktober 2024 – Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni (Polis Hutan), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi pencegahan jenayah di satu kawasan perhutanan Daerah Temburong yang dipercayai digunakan sebagai pusat pemunggahan dan pengedaran barang tegahan.
Pada waktu petang, pasukan Polis Hutan telah berjaya menahan dua orang suspek berserta 240 tin dan 84 botol minuman keras pelbagai jenis didalam sebuah kenderaan, yang dipercayai telah diseludup dari negara jiran. Turut ditemui didalam kenderaan tersebut adalah peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Kes ini dilaporkan di Balai Polis Bangar untuk penyerahan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei dan Biro Kawalan Narkotik bagi tindakan selanjutnya.
PPDB menggesa orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang negara kerana ianya hanya akan membawa akibat buruk kepada diri sendiri dan keluarga. PPDB komited untuk terus mengambil langkah aktif bagi membanteras dan menghapuskan kegiatan penyeludupan barangan tegahan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
