BRUNEI MUARA, Khamis 15 Ogos 2024 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Pembukaan bagi Program Pembangunan Eksekutif Pengurusan Pertengahan Pasukan Polis Diraja Brunei Kali ke 4 tahun 2024.
Program tersebut disertai oleh 15 Pegawai Kanan dari PPDB. Pada tahun ini, turut menyertai program ini adalah 5 pegawai kanan dari Agensi Penguatkuasa Undang-Undang iaitu dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Biro Kawalan Narkotik dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mohd Hasrul Izzat Bin Hj Abdul Wahab, Pengurus Projek, ILIA UBD.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali. Turut hadir di acara tersebut Dr. Hazri bin Haji Kifle, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Penolong Naib Cancelor Universiti Brunei Darussalam Professor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Hj Petra, Pengarah-Pengarah PPDB, Pegawai Kanan PPDB dan ILIA, serta pegawai-pegawai kanan Jabatan-Jabatan Penguatkuasa Undang-Undang yang dijemput.
Semasa ucapan pembukaan, Dr Asiyah az-Zahra binti Ahmad Kumpoh menyatakan program tahun ini akan dilengkapi dengan modul-modul baru seperti pengurusan media dan program jangkauan komuniti. Selain itu beberapa tajuk khas akan diketengahkan seperti kepimpinan dari perspektif Melayu Islam Beraja, Integriti dalam Penguatkuasaan Undang-Undang, Pengurusan Insiden Bencana, Sekuriti Siber dan Modern Policing.
Program tersebut adalah program kali ke empat diadakan di mana ianya akan dijalankan selama 9 minggu dan dihasratkan untuk akan terus berjalan setiap tahun dalam memastikan pembangunan kapasiti dan kompetensi pegawai-pegawai PPDB sentiasa dipertingkatkan dan dimajukan secara berterusan. Selain itu juga adalah dihasratkan bagi peserta program ini akan dapat menjalin hubungan dan jaringan kerja profesional bersama peserta-peserta jemputan dari agensi penguatkuasa undang-undang yang berkepentingan dan membuka peluang untuk mengukuhkan kerjasama pada masa hadapan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
