GADONG, Ahad 14 Jul 2024 – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dan Ceramah Khas Sempena Majlis Ilal Hijrah bertempat di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Di-Pertua PEKERTI, Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman. Turut hadir di majlis tersebut Pengerusi PEKERTI, Yang Mulia Datin Sabrina binti Abdullah Chong, isteri Timbalan Pesuruhjaya Polis.

Majlis ini telah dikendalikan oleh Badan Didikan PEKERTI yang dipengerusikan oleh Yang Mulia Hajah Annisah binti Haji Bahar. Turut hadir di majlis tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI.

Majlis tersebut dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Norerny binti Emran dan seterusnya Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 78 tahun.

Majlis ini juga diteruskan dengan Ceramah Khas sempena Majlis Ilal Hijrah Tahun 1446H yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustazah Siti Junaidah binti Haji Bujang.

Majlis ini diadakan sebagai melahirkan rasa kesyukuran di atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Baginda Sultan senantiasa dilimpahi rahmat, sihat walafiat dan dilanjutkan usia dengan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta Kerabat Diraja mendapat hidayah serta inayah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Dalam masa yang sama, antara inti pati Ceramah Khas mengingatkan setiap umat Islam tentang pentingnya memelihara ugama bagi kesejahteraan negara. Ianya sangat bertepatan dalam melahirkan kehidupan terbaik sekaligus akan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Dalam ceramah tersebut, Penceramah juga menyentuh mengenai Ilal Hijrah yang juga mengingatkan supaya melakukan penghijrahan kepada yang terbaik, terutama dalam mengingati Allah, amalan terbaik ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Menurutnya lagi dengan pendekatan bersabar, berikhtiar, bertawakal dan berdoa dalam menangani sesuatu perkara adalah yang terbaik terutama dalam menempuh suasana dunia yang penuh dengan ujian ini.

Dikeluarkan Oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI