TEMBURONG, Selasa 9 Jul 2024 – Pelbagai jenama minuman keras dan rokok yang dipercayai tidak diisytiharkan adalah hasil rampasan daripada penahanan sebuah kenderaan tanpa sebarang pemandu di kawasan KM 0.8 hala tuju dari Temburong ke Kota Batu, Bandar Seri Begawan pada sekitar awal malam 9 Julai 2024.

Insiden penahanan adalah hasil pemantauan daripada keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ke atas sebuah kenderaan mencurigakan yang dipandu laju keluar daripada kawasan penurunan perahu Kg Negalang.

Hasil rampasan sebanyak 360 tin dan 48 botol minuman keras serta 140 paket rokok pelbagai jenama telah ditemui dan barang-barang rampasan tersebut telah diserahkan kepada Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama Agensi Penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras dan mencegah dari berlakunya Jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di Negara Brunei Darussalam.

Pasukan Polis Diraja Brunei jua memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.

Dikeluarkan Oleh

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI