TEMBURONG, Isnin 4 Mac 2024 – Pada 4 Mac 2024, Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni (Polis Hutan), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi pencegahan jenayah berdasarkan maklumat perisikan di kawasan perhutanan Daerah Temburong yang dipercayai digunakan sebagai pusat pemunggahan dan pengedaran barang tegahan.
Pada waktu petang, pasukan Polis Hutan telah berjaya mengesan tempat beberapa jumlah kotak-kotak besar disimpan dan dipercayai mengandungi barang tegahan yang dibawa masuk secara haram. Pasukan Polis Hutan telah bertindak untuk menyerbu kawasan tersebut dan berjaya menahan seorang suspek bersama kotak-kotak yang dipercayai barang tegahan.
Hasil operasi tersebut Pasukan Polis Hutan telah berjaya menahan, seorang warganegara tempatan disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan, dan 31 kotak mengandungi 372 botol minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai diseledup dari negara jiran. Kes ini dilaporkan di Balai Polis Bangar untuk penyerahan siasatan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei bagi tindakan selanjutnya.
Pihak PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang negara yang hanya mendatangkan kerugian pada diri sendiri dan keluarga. PPDB akan sentiasa bergiat aktif dalam usaha pembanterasan dan pengekangan terhadap kegiatan-kegiatan penyeludupan barangan tegahan di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
