BRUNEI MUARA, Khamis 15 Februari 2024 – Dalam usaha untuk menanai tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan Negara Brunei Darussalam, Polis Marin (POLMAR) PPDB terus aktif dalam meningkatkan rondaan dan operasi bagi mencegah sebarang kegiatan jenayah haram di perairan ini dari berleluasa. 

Pada 15hb Februari 2024, pemantauan oleh Unit Peronda Polis Marin telah mengesan 2 buah perahu yang mencurigakan sedang bergerak menyusuri kawasan perairan Sungai Bunga dan bertindak untuk memintas bagi tujuan pemeriksaan. Menyedari akan kehadiran anggota penguatkuasa, 2 buah perahu tersebut kemudiannya melarikan diri. 

Unit Peronda Polis Marin telah berjaya mengesan sebuah perahu dan menumpaskan percubaan penyeludupan barang tegahan yang masuk ke dalam kawasan perumahan Kampong Sungai Bunga dan didapati perahu tersebut telah ditinggalkan tanpa pemandu. Manakala sebuah lagi perahu tidak dapat dikesan. 

Hasil pemeriksaan awal ke atas perahu yang dikesan telah mendapati 18 kotak besar dipercayai mengandungi barang tegahan berupa rokok yang tidak diisytiharkan. Lalu, perahu tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk siasatan lanjut. 

Hasil siasatan telah mendapati kotak-kotak tersebut mengandungi 900 karton rokok pelbagai jenama. 

Perahu serta barang-barang tegahan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk tindakan selanjutnya. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa membuat pemantauan dan risikan serta akan mengambil tindakan pada setiap kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang di negara ini. Pihak Polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​