GADONG, Selasa 26 Disember 2023 – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) seperti lazimnya telah mengadakan Majlis Penyampaian Derma bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak yatim Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi musim persekolahan tahun 2024. 

Hadir selaku tetamu Kehormat di majlis ini ialah, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, Yang Dipertua PEKERTI. 

Turut hadir di majlis tersebut Pengerusi PEKERTI, Datin Sabrina binti Abdullah Chong dan juga Pengerusi Badan Kebajikan PEKERTI selaku pengerusi majlis, Dayang Rokiah binti Joly @ Julai, Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI, anggota-anggota polis wanita dan isteri-isteri polis. 

Majlis tersebut mengambil tempat di Dewan Bankuet, Mes Pegawai Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong. Di majlis tersebut Tetamu Kehormat berkesudian untuk menyampaikan Derma kepada seramai 95 orang anak-anak yatim PPDB. Tabung Anak-Anak Yatim PEKERTI telah ditubuhkan sejak tahun 2007 dan dana kewangan tabung diperolehi daripada sumbangan dari pegawai serta ahli-ahli Pasukan Polis Diraja Brunei sendiri, orang-orang perseorangan dan juga kutipan-kutipan derma tabung dari orang ramai. 

Tabung tersebut ditubuhkan dengan hasrat murni untuk membantu anak-anak yatim, khususnya anak-anak kepada anggota-anggota PPDB yang telah meninggal dunia, bagi mengenang jasa ibubapa mereka semasa mereka berkhidmat di dalam Pasukan. Sesuai dengan objektifnya, penyampaian derma kali ini adalah dihasratkan untuk meringankan beban para ibu tunggal atau penjaga anak-anak yatim berkenaan untuk membuat persiapan-persiapan awal bagi musim persekolahan 2024. Majlis seumpama ini, Insya’allah, akan dijadikan sebagai projek tahunan PEKERTI.

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​