GADONG, Khamis 12 Oktober 2023 – Dalam usaha untuk melahirkan pegawai & anggota Polis yang bertauliah, berkeyakinan dan berkemampuan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Pusat Latihan Polis telah berjaya melatih seramai 20 pegawai Kadet Inspektor Percubaan dan 99 pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki, dalam Latihan Asas Kepolisan selama 9 bulan. 

Seramai 20 orang Pengambilan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2023 terdiri dari 16 orang lelaki dan 4 wanita dan 99 orang Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki, telah menamatkan latihan asas kepolisan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Gadong. 

Program latihan ini, direka untuk menyediakan rekrut untuk tuntutan dinamik dan mencabar penguatkuasaan undang-undang moden, merangkumi kurikulum menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek penguatkuasaan undang-undang, etika, penglibatan komuniti, dan kecergasan fizikal. Selama sembilan bulan, rekrut-rekrut ini telah menjalani latihan intensif untuk memastikan mereka benar-benar bersedia untuk mengekalkan standard tertinggi penguatkuasaan undang-undang. 

Latihan asas ini direka untuk menyediakan pegawai dan anggota baharu untuk menempuh tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang yang kian mencabar dengan keperibadian kepolisan, merangkumi kurikulum pelbagai aspek seperti penguatkuasaan undang-undang negara, etika kerja & disiplin dan kecergasan fizikal & mental. 

Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Turut hadir, Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Yang Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pengarah dan Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PPDB dan ahli keluarga Pegawai-pegawai dan Rekrut-rekrut yang diraikan. 

Di majlis berkenaan, tetamu kehormat mula-mula memeriksa perbarisan Pegawai-Pegawai Kadet & Rekrut Lelaki dan perbarisan kawalan kehormatan serta diikuti dengan menyempurnakan penyampaian anugerah Pegawai Kadet dan Rekrut Terbaik. 

Pegawai kadet terbaik daripada Skuad 1/2023 juga telah menerima anugerah Pedang Kehormat (Sword of Honor) yang disampaikan oleh tetamu kehormat kepada Inspektor Percubaan Mohammad Hamizan bin Haji Mohammad Din. Seterusnya penyampaian hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan dan Akademik, Konstabel Polis 7024 Muhammad Nurwafiq bin Haji Jasmin dan Pelatih Terbaik Dalam Latihan Luar, Konstabel Polis 7039 Mohammad Asril bin Asli. 

Acara kemudian diteruskan dengan perbarisan lalu para Pegawai Kadet dan Rekrut, dan diakhiri dengan keluar baris dalam masa perlahan jalan. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​