GADONG, Rabu 11 Oktober 2023 – Majlis Khatam Al-Quran telah diselitkan dalam program upacara sebelum perbarisan tamat latihan bagi pelatih-pelatih rekrut Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Majlis Khatam yang diungkayahkan oleh Pusat Latihan Polis (PLP) berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis Gadong yang melibatkan pegawai-pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2023 seramai 20 pegawai dan pelatih-pelatih Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2022 seramai 99 pelatih. 

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali bersama Pengiran Datin. 

Turut hadir, pengarah dan timbalan pengarah, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai kanan serta ahli keluarga para pelatih rekrut yang diraikan. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran diketuai oleh Rekrut 7055 Awangku Muhammad Zulhilmi Ahza bin Pengiran Kahar. 

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Muhammad Hafiz Hamizan bin Awang Johari dan seterusnya Dikir Marhaban oleh semua Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2023 serta Pelatih Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2022 dan diselajurkan dengan acara merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat dan diikuti oleh jemputan-jemputan yang hadir. 

Para Pegawai Kadet Inpektor Percubaan Skuad 1/2023 serta Pelatih Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2022 juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan cenderahati kepada Tetamu Kehormat. 

Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Abdul Rahim bin Iedin Roslan. 

Para pegawai-pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2023 dan pelatih-pelatih Rekrut Skuad 1/2022 ini akan menamatkan latihan kepolisan dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang akan diadakan pada 12 Oktober 2023 bertempat di Padang Kawad Besar PLP. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​