GADONG, Khamis 5 Oktober 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam telah mengadakan Majlis Ceramah Perdana Sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1445 Hijrah. 

Penceramah Undangan Yang Berhormat Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Tajuk ceramah “Sifat-sifat Rasulullah yang dikaitkan dengan Integriti dan Tugas-tugas Kepolisan” dan Penceramah undangan kedua Yang Mulia Pg Ahmad Faris Ramadhani bin Pg Hj Sellahuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. 

Sama-sama hadir di majlis yang berkebajikan tersebut Yang Mulia Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali. 

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin; Timbalan Penguasa Polis Muhammad Aimi Safwan bin Zalidin selaku Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI) PPDB; Pengarah-pengarah Jabatan; Pegawai-pegawai Kanan PPDB dan Pegawai-Pegawai Kanan Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Pegawai-pegawai Kanan ABDB, para Pegawai dan Anggota Pangkat Rendah PPDB. 

Majlis didahului dengan Bacaan Surah Al Fatihah oleh Imam Surau Polis Gadong APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, seterusnya diikuti dengan Bacaan Al-Quran, Surah Al-Imran, ayat 144 hingga ayat 148 oleh L/Cpl Ahmad Raihaan bin Begawan Mudim Haji Matassim. 

Antara lain Intisari ceramah Yang Berhormat Pehin Dato adalah menyentuh mengenai peranan ketua polis di zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) iaitu Qays Bin Saad, selaku tonggak kekuatan dan penguasa menerapkan tugas-tugas syariat, mengawal sistem dan melindungi keamanan. 

Yang berhormat Pehin Dato juga mengongsikan fadilat bacaan ayat-ayat lazim seperti Surah Ad-Dhuha dan Ayat Al-Kursi yang boleh menghindarkan kecurian dan mengawalkan pembacanya dari segala keburukan dan kejahatan. 

Manakala penceramah kedua, menyentuh mengenai keperibadian dan akhlak Nabi Muhammad (SAW) yang dikagumi bukan sahaja oleh cendikiawan-cendikiawan islam tapi juga yang bukan islam.

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​