BELAIT, Sabtu 26 Ogos 2023 – Dua lokasi iaitu di kawasan Lebuhraya Seria Bypass hala Kuala Belait dan di kawasan Lorong 3 Barat berdekatan Simpang 198, hala dari Lebuhraya menuju ke Pekan Seria, telah menjadi tumpuan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang lalulintas negara ini dalam operasi sepadu secara serentak yang dikendalikan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Belait pada malam sabtu dari jam 8.00 malam hingga jam 10.30 malam. 

Operasi tersebut terdiri daripada keanggotaan PPDB iaitu daripada Balai Polis Seria, Balai Polis Panaga, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) Batu 3, dan agensi-agensi lain iaitu Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN). 

Sebanyak 18 kesalahan lalulintas dan 214 kompaun telah didapati dalam operasi tersebut. Di antara kesalahan yang telah didapati adalah kenderaan yang memakai pelekat plastik filem atau tabir, lesen memandu mansuh, tayar nampak dawai, insuran mansuh dan memasang lampu biru di hadapan dan di kompaun di bawah Bab 8 (1) RTA Cap 68 dan Bab 18 (4) RTA Cap 68. 

Adapun tujuan utama operasi dijalankan adalah untuk mempromosikan dan menguatkuasakan peraturan keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya dan masyarakat awam. 

Sementara Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) mendapati 1 kesalahan iaitu pemandu memiliki 2 unit Vape Pod, kesalahan di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah mengeluarkan 1 Pas Khas kepada warganegara Bangladesh untuk pengesahan dokumen asal, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah mengeluarkan 3 kompaun atas kesalahan U/REG 31, dan U/REG 104 (1) dan 3 kesalahan iaitu U/Sec 76(1) Cap 68, REG 26 Cap 68 dan REG 28 Cap 68 dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah menahan 2 orang atas kesalahan Seksyen 6(a), iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal; Seksyen 6(b), iaitu kesalahan memakan dadah terkawal; Seksyen 7, iaitu kesalahan memiliki alat perkakas untuk memakan dadah terkawal, Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27. 

Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan negara ini. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​