BRUNEI MUARA, Khamis 17 Ogos 2023 – 4 orang suspek yang dipercayai terlibat dengan jenayah curi dalam bangunan bersiri telah berjaya diberkas baru-baru ini.
Kumpulan suspek yang melibatkan 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan warga negara tempatan itu telah berjaya diberkas di beberapa buah kawasan berbeza di Daerah Brunei Muara melalui usaha berterusan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam menjejaki penjenayah dan membenteras kegiatan jenayah di samping kerjasama awam dalam perkongsian maklumat jenayah yang diberikan orang ramai.
Tangkapan ke atas keempat-empat suspek ini telah berjaya menemukan sejumlah barangan rampasan dipercayai barang curi jenayah pecah rumah dan curi yang telah berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini di kawasan Bandar Seri Begawan, Kiulap, Berakas dan Gadong. Hasil siasatan terperinci yang dijalankan oleh Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah telah mendapati sindiket ini telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 32 kes curi dalam bangunan yang dilaporkan di kawasan yang dinyatakan tadi.
Pada masa ini kesemua suspek ditahan reman bagi melengkapkan siasatan. Kes akan disebut semula pada 24 Ogos 2023 di mana mereka akan dibacakan pertuduhan atas kesalahan-kesalahan mereka.
PPDB tidak akan pernah berhenti untuk menjejaki dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah-penjenayah yang cuba untuk mengganggu gugat ketenteraman dan kesejahteraan di Negara Brunei Darussalam.
PPDB juga memohon kerjasama orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat penting berkaitan pelanggaran undang-undang agar kegiatan jenayah dapat dibendung serta dibanteras dengan sebaiknya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
