BELAIT, Sabtu 12 Ogos 2023 – Satu lokasi di kawasan jalanraya utama menuju ke BLNG Lumut telah menjadi tumpuan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang lalulintas negara ini dalam operasi sepadu yang telah dikendalikan pada pagi kelmarin dari jam 6 hingga jam 8. 

Operasi tersebut adalah operasi bersama di antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Brunei Liquefied Natural Gas (BLNG) Sendirian Berhad. Kolaborasi operasi tersebut terdiri daripada keanggotaan PPDB iaitu daripada Balai Polis Sungai Liang, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) dan Pengawai Keselamatan Padang Minyak (OPSO) dan juga Jabatan Pengangkutan Darat (JPD). Seramai 46 orang yang terlibat dalam operasi tersebut, termasuk pegawai dan juga kakitangan daripada BLNG Sdn Bhd. 

Sebanyak 101 kesalahan lalulintas telah didapati daripada 609 buah kereta yang diperiksa dalam operasi tersebut. Di antara kesalahan yang telah didapati adalah kenderaan yang memakai pelekat plastik filem atau tabir, pemandu dan penumpang tidak menggunakan tali pinggang keselamatan dan ubahsuai kenderaan dan beberapa kesalahan lagi. 

Adapun tujuan utama operasi dijalankan adalah untuk mempromosikan dan menguatkuasakan peraturan keselamatan jalan raya kepada masyarakat, kakitangan BLNG dan pelawat-pelawatnya. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengharapkan operasi bersama seperti ini akan meningkatkan lagi kerjasama bersama pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat secara amnya, agar dapat memupuk sikap bersama menanai tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam dengan mematuhi undang-undang negara ini. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​