GADONG, Khamis 3 Ogos 2023 – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1445 diselajurkan dengan Doa Kesyukuran bagi kepulangan Jemaah Haji Pasukan Polis Diraja Brunei di Surau Polis Gadong, PPDB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, keanggotaan dan kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.
Majlis seterusnya diserikan lagi dengan ceramah bertajuk ‘Hijrah dan Cabaran Masa Kini’ yang disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Besar, Ra’es KUPUSB.
Antara intipati ceramah tersebut telah mengungkap dan mengimbas kembali peristiwa peperangan hebat dalam sejarah islam. Antara pengajaran yang dapat diambil dari peristiwa tersebut ialah kepentingan mentaati arahan pemimpin demi kejayaan dan keberkatan perjuangan.
Kemudiannya majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban bagi meraikan jemaah haji PPDB yang telah selamat pulang ketanahair dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
