GADONG, Rabu 26 Julai 2023 – Pada Menjunjung Titah Perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan menaikkan pangkat, Yang Amat Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan seterusnya ditetapkan dalam jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan Pasukan Polis Diraja Brunei, yang berkuatkuasa bermula pada 26 Julai 2023.
Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat bersama Pengiran Datin.
Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar untuk menyaksikan kenaikan pangkat anakanda.
Juga hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin bersama Datin, pengarah-pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan ahli keluarga pegawai yang diraikan.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
