BRUNEI MUARA, Sabtu 22 Julai 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima laporan daripada talian kecemasan 993 pada 19 Julai 2023 jam kira-kira 10.40 malam mengenai pergaduhan yang menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata tajam. Kejadian berlaku di kawasan Mukim Pengkalan Batu. 

Sejurus laporan diterima, Balai Polis Limau Manis (LMS) segera ke tempat kejadian dan mendapati pergaduhan telah lerai dan menjumpai 2 orang lelaki warganegara tempatan dalam keadaan cedera parah. Suspek-suspek yang telah menyebabkan kecederaan tersebut telah meninggalkan tempat kejadian. Mangsa-mangsa segera dibawa ke Hospital Ripas menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut. 

Setakat ini pihak polis telah berjaya menahan 5 orang suspek, warganegara tempatan dan asing, yang disyaki terlibat dengan kejadian tersebut dan akan dipohonkan reman untuk siasatan lanjut. 

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 326, Hukum Kanun Jenayah Penggal 22 iaitu mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan sebat. 

Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​