GADONG, Isnin 17 Julai 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Penutup Dan Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Pengurusan Pertengahan Pasukan Polis Diraja Brunei Kali ke 03 tahun 2023.
Program tersebut telah disertai oleh 18 Pegawai Kanan dari PPDB, seorang pegawai dari Biro Kawalan Narkotik dan seorang lagi pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin. Turut hadir diacara tersebut, Dato Paduka Mohd Zalani bin Haji Ismail, Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dr. Hazri bin Haji Kiflie, Naib Chancellor Universiti Brunei Darussalam, Pg Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Ismail, Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, pengarah-pengarah dan timbalan pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan.
Dalam ucapan Tetamu Kehormat, beliau menekankan cabaran-cabaran persekitaran masakini yang semakin rumit dan kompleks, dimana para peserta seharusnya sentiasa didalam keadaan bersedia dan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran tersebut.Beliau menghasratkan para peserta bersikap pro-aktif didalam menangani ancaman-ancaman keselamatan agar keamanan negara terjamin.
Program tersebut adalah program yang kali ketiga diadakan di mana ianya telah dijalankan selama 9 minggu dan dihasratkan untuk akan terus berjalan setiap tahun dalam memastikan pembangunan kapasiti dan kompetensi pegawai-pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei sentiasa dipertingkatkan dan dimajukan secara berterusan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
