BRUNEI MUARA, Isnin 10 Julai 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Brunei Muara telah menjalankan satu Operasi Sepadu bersama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang melibatkan pegawai dan anggota seramai 177 orang dari Daerah Polis Brunei Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE).
Objektif operasi adalah bagi memastikan acara-acara yang akan diadakan sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke ke-77 tahun ini di Bandar Seri Begawan terus berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang.
Operasi yang bermula sekitar jam 10.30 malam telah diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (Operasi) berserta pegawai-pegawai dan anggota-anggota dari Daerah Polis Brunei Muara dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dan peraturan-peraturan yang terlibat.
Sasaran operasi tertumpu di tiga (3) lokasi operasi telah dijalankan secara serentak di kawasan Jalan Tasek, Jalan Kianggeh, Jalan Kumbang Pasang dan satu sekatan jalanraya di kawasan hadapan Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Jalan Kumbang Pasang menuju Bandar Seri Begawan.
Berikutan hasil daripada operasi berkenaan:
JKED: 3 orang ditahan atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006
JIPK: 17 orang warganegara asing ditahan atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen yang sah
BKN: 2 orang lelaki warganegara tempatan ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6 (b), Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27
JPE: 2 buah premis telah didapati membuat pelencongan pendawaian (meter bypass) iaitu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1)(a), Akta Elektrik, Penggal 71 dan penyambungan tanpa kebenaran (unauthorised connection) dan tidak melalui meter (meter bypass) untuk diberikan kepada kediaman lain iaitu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1)(a) dan (b), Akta Elektrik, Penggal 71
Jabatan Buruh: 11 buah bilik didapati kesalahan di bawah Bab 82 iaitu Tiada Menyediakan Alat Kecemasan dan sebuah bilik atas kesalahan Bab 112 (2) iaitu menyalahi syarat lesen dan Bab 82
JDBM: 1 kompaun telah dikeluarkan ke atas seorang individu bagi kesalahan di bawah Bab 12 (1) a, Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan 2021)
JBBSB: Kesalahan longgokan sampah di lorong akses Bangunan Aman Sentosa Flat, Jalan Kianggeh dan lima (5) buah kenderaan terbiar di kawasan simpang bilik-bilik sewa di Jalan Kumbang Pasang.
Melalui penemuan barang-barang tegahan tersebut telah dirampas dan siasatan akan dijalankan ke atas semua suspek.
Operasi seperti ini adalah usaha berterusan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dan peraturan-peraturan di Daerah Brunei dan Muara dalam misi membenteras dan membendung kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa pada masa ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
