BELAIT, Isnin 10 Julai 2023 – Sebanyak dua (2) lokasi berasingan telah menjadi tumpuan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang negara ini dalam operasi sepadu yang telah dikendalikan semalam di kawasan tadahan Daerah Belait.
Kolaborasi operasi tersebut terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) iaitu Balai Polis Kuala Belait, Balai Polis Panaga, Balai Polis Seria, Jabatan Perisikan Jenayah PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) seramai 70 orang, yang melibatkan pegawai dan juga anggota daripada agensi-agensi berkenaan.
Satu serbuan juga turut dijalankan pada malam tersebut di sebuah kediaman kawasan Jalan Kerma Negara kerana telah didapati menjalankan kegiatan perjudian. Di samping itu, pihak polis juga berhasil menahan seramai 22 orang suspek lelaki dan perempuan yang terdiri daripada warganegara asing.
Turut dirampas semasa serbuan ialah peralatan permainan judi seperti kain judi, penyimpanan buah dadu (kong) bersama dadu serta sejumlah wang tunai dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4 kesalahan iaitu melibatkan pengendalian tempat kejadian dan Seksyen 6 (1) kesalahan bermain judi, Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Hasil daripada pemeriksaan dan operasi yang dijalankan, JKED juga telah menemukan beberapa kesalahan yang melibatkan barangan tegahan iaitu penemuan beberapa tin dan botol minuman keras serta rokok yang tidak bertuan.
Kesemua penahanan dan barang rampasan dibawa ke jabatan masing-masing bagi tindakan lanjut. Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahupun keamanan di negara ini.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
