GADONG, Ahad 2 Julai 2023 – Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga tidak ketinggalan mengungkayahkan Majlis Ibadah Korban PPDB sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi yang berlangsung di Surau Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei pagi tadi. 

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging-daging korban pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali. 

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, para pengarah dan timbalan pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan serta anggota dan warga kakitangan awam PPDB. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar dan kemudiannya diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban oleh tetamu kehormat kepada para penerima. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat. 

Pada tahun ini, seramai 49 orang peserta menyertai ibadah korban yang melibatkan sebanyak 7 ekor sapi untuk dikorbankan. Sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut telah diagihkan kepada 150 orang Asnaf di bawah mukim Gadong A dan Gadong B. 

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dapat mengasuh dan mendidik diri untuk bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T dalam mengharungi arus kehidupan, tidak mudah mengeluh dan tetap menyerah dan bertawakal kepada Allah SWT. Ketahuilah, apa pun jua keadaan dan musibah yang berlaku, semuanya itu adalah ketentuan dan ketetapan daripada Allah S.W.T. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 156:

“Iaituَ orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali” 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​