BRUNEI MUARA, Ahad 2 Julai 2023 – Berikutan maklumat yang dikongsikan orang ramai kepada pihak Polis berkenaan aduan bunyi bising iaitu kegiatan ‘live band’ di STKRJ Mata-Mata (Katok ‘B’), Jalan Nenas Sanggul, Mukim Gadong ‘B’, Daerah Brunei Muara, satu Gerakan operasi telah dikendalikan sekitar jam 2.11 pagi oleh para Pegawai dan Keanggotaan daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara.
Operasi yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (Operasi) beserta 28 pegawai dan anggota yang terdiri daripada para detektif dan keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan telah menjalankan pemeriksaan mengejut di dua buah rumah kediaman di STKRJ Mata-Mata (Katok ‘B’), Jalan Nenas Sanggul, Mukim Gadong ‘B’, Daerah Brunei-Muara kerana mengendalikan persembahan kumpulan live band.
Hasil dari serbuan ini Daerah Polis Brunei Muara melalui Balai Polis Bandar Seri Begawan telah merampas peralatan-peralatan muzik dan turut dijumpai dua botol minuman keras serta bekas-bekas tin minuman keras dibuang di persekitaran tempat kejadian.
Pemilik rumah akan disiasat dibawah kesalahan melanggar Seksyen 18 (1), Akta Lesen Hiburan Awam Penggal 181 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $10,000. Pelanggaran akta ini bagi kali yang kedua atau yang seterusnya, boleh didenda dua kali ganda dan dipenjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.
Kesemua barang tegahan yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Operasi sepertinya akan kerap dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat awam mengenai undang-undang demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan penduduk di Daerah Brunei Muara khasnya dan di Negara Brunei Darussalam secara amnya.
Di samping itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang padu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
