TUTONG, Khamis 29 Jun 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku kelmarin dan telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal lelaki warganegara Malaysia. 

Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei telah menerima panggilan kecemasan tersebut melalui talian kecemasan 993 pada 28 Jun 2023 sekitar jam 8.30 pagi kelmarin berhubung satu kejadian kemalangan maut yang berlaku di kawasan Telisai hala Kuala Belait KM 40.2. 

Sejurus maklumat diterima, pihak polis segera ke tempat kejadian dan hasil daripada siasatan awal mendapati insiden berkenaan telah melibatkan kemalangan sebuah motosikal dan sebuah lori. Ahli paramedik bertugas yang hadir membuat pemeriksaan turut mengesahkan bahawa penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian. 

Manakala, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan dilepaskan dengan ikatan jamin. Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan. 

Oleh yang demikian, dipohonkan kepada orang ramai dan saksi mata yang telah menyaksikan insiden kemalangan berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis ataupun menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan.

Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya. 

Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan hendaklah sentiasa memakai tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan serta mengurangkan impak kecederaan jika terlibat dengan sebarang kemalangan. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​