BRUNEI MUARA, Isnin 26 Jun 2023 – Unit Siasatan Jenayah Penderaan Kanak-Kanak dan Wanita, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang giat menjalankan satu siasatan terhadap dua video tular yang memaparkan dua kejadian buli yang berasingan yang melibatkan dua mangsa. Kedua-dua kejadian telah dilaporkan oleh pihak polis pada 24 Jun 2023 di Balai Polis Bandar Seri Begawan, PPDB. 

Menerusi sesi rakaman video-video tersebut, masing-masing menunjukkan seorang pelajar lelaki (mangsa) telah dipukul menggunakan tangan serta kaki tanpa sebarang objek lain oleh seorang pelajar lelaki (suspek), sambil dirakam oleh beberapa pelajar yang lain. 

Pihak polis segera mengumpulkan maklumat dan siasatan pun telah dijalankan. Kedua-dua kes ini disiasat di bawah seksyen 323, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu menyebabkan dan mendatangkan kecederaan. 

PPDB menegaskan kepada orang ramai terutamanya pelajar-pelajar sekolah agar menghindari dari kelakuan membuli kerana ianya boleh menjurus kepada perbuatan jenayah. PPDB juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat-maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman mana-mana pihak.

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​