BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 12 Jun 2023 – Seorang wanita telah berjaya diberkas oleh keanggotaan Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat dalam menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.
Serbuan yang dijalankan pada lewat petang 12 Jun 2023 itu mensasarkan ke salah sebuah bilik penginapan di kawasan Kiulap, di mana suspek merupakan seorang wanita warganegara asing yang berumur 26 tahun dipercayai menjalankan aktiviti memberikan khidmat seks.
Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian dan menemukan beberapa barangan bukti seperti minyak pelincir, sekeping kondom, telefon bimbit dan wang tunai di lokasi kejadian dipercayai hasil dari aktiviti tersebut.
Suspek ditahan bersama bahan bukti yang ditemukan dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.
Pihak Polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
