BRUNEI MUARA, Ahad 07 Mei 2023 – Hasil operasi rondaan dan pemantauan jenayah yang berterusan Pasukan Polis Simpanan C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan kerjasama bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) membuahkan hasil bilamana telah berjaya menahan 2 warga tempatan iaitu seorang lelaki dan perempuan yang dipercayai mencuba membawa masuk barangan tegahan kastam pada 06 Mei 2023.
Kenderaan bersama pemandu dan penumpang yang dipercayai cuba membawa masuk barangan tegahan telah ditahan di kawasan hujung jalan Kg Bebuloh. Seterusnya kenderaan, penemuan barang-barang mencurigakan serta dua (2) orang suspek dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi menjalani siasatan awal dan kes ini diambil alih siasatannya oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan lanjut.
Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sejumlah 3 kotak besar mengandungi 36 botol minuman keras, turut dijumpai sebanyak 16 katon rokok pelbagai jenis. Kedua suspek merupakan lelaki dan wanita warganegara tempatan berumur dalam lingkungan 28 ke 30 tahun.
PPDB serta agensi penguatkuasa undang-undang lain akan terus komited menjalankan usaha membanteras, merisik serta membuat pemantauan berterusan ke atas sebarang kegiatan jenayah yang berlaku berhampiran sempadan-sempadan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
