GADONG, Sabtu 31 Dis 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan genap menjangkau usianya yang ke-102 tahun pada 1 Januari 2023. Bersempena dengan tarikh tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan 102 Tahun yang berlangsung di Surau Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei pada 31 Disember 2022.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Penguasa Polis (Supt) Yang Mulia Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI), para pengarah dan timbalan pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta warga kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin, Tahlil dan bacaan Doa Kesyukuran. Seterusnya Sembahyang Fardhu Asar berjemaah diimamkan oleh Imam Surau Polis Gadong, Yang Mulia APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar bagi memohon keberkatan agar warga pasukan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan tugasan mencegah dan membenteras jenayah, dihindari dari segala kesukaran dan kecelakaan dalam menjalankan tugasan harian.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
