BRUNEI MUARA, Sabtu 6 April 2019 – Program Pengawasan Kejiranan ialah usaha yang mengandungi strategi dan pendekatan secara proaktif untuk mencegah jenayah daripada berlaku dan mendidik serta menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah. Sebanyak tiga (3) pendekatan dan lima (5) rondaan pencegahan jenayah Pengawasan Kejiranan (PK) telah pun dijalankan di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait. 

Unit Pengawasan Kejiranan Focal Point Balai Polis Pusat BSB bersama Focal Point DHQ Brunei Muara diketuai Koperal 4604 Hasnan bin Ali telah mengaktifkan dua aktiviti pendekatan dan diteruskan dengan rondaan bertempat di rumah ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Haji Zaindi Bin Haji Saban selaku Timbalan Pengerusi PK Kg Tungku. 

Pencegahan jenayah Balai Polis Pusat BSB diselajurkan dengan rondaan di kawasan sekitar Kg Tungku/Katok dan tumpuan rondaan dijalankan di kawasan Stesen Elektrik yang mana didapati beberapa kabel elektrik telah rosak. 

Manakala pendekatan yang kedua ke Kampong Bunut Perpindahan yang mana bagi menangani isu anjing liar di kawasan kampung tersebut. Hadir bersama Timbalan Pengerusi PK Kg Bunut Perpindahan, Yang Mulia Haji Murni bin Haji Md Salleh. 

Susulan daripada itu, tindakan awal telah pun dibuat kepada pemilik anjing tersebut dengan membuat perjumpaan serta nasihat agar anjing peliharaan sentiasa dalam kawalan bagi keselamatan penduduk kampung dan mengelak dari perkara yang tidak diingini berlaku. 

BERAKAS – Balai Polis Berakas yang diketuai oleh Focal Point Unit Pengawasan Kejiranan, Koperal 3854 Haji Tejuddin bin Haji Sulaiman membuat pendekatan ke rumah Pemangku Ketua Kampong OKBI/Kg Pulaie, Yang Mulia Awang Omar bin Haji Dollah. 

Objektif dalam pendekatan PK ini bertujuan bagi membincangkan mengenai perancangan aktiviti PK dalam pada masa terdekat dan penambahan ahli PK yang baru terutama sekali menarik penglibatan belia-belia masjid dan kampung untuk diserapkan menyertai Ahli Pengawasan Kejiranan di kampung berkenaan. 

MUARA – Unit Pengawasan Kejiranan Focal Point Balai Polis Muara, menjalankan program rondaan bersama Pemangku Ketua Kg RPN Kg Meragang, Yang Mulia Hadi Muslim bin Abdullah bersama 5 orang ahli PK dan 3 orang sukarelawan penduduk Kg RPN Meragang. 

Rondaan tertumpu di kawasan yang sering berlakunya kejadian jenayah terutama sekali di tempat permainan RPN Kg Meragang, Pantai Meragang, Jln Kemangsi Barat, Jln Kemangsi Selatan dan Jln Binglu Utara. Sepanjang rondaan dijalankan tidak ada mendapati sebarang kejadian jenayah berlaku. 

LIMAU MANIS – Tidak ketinggalan, rondaan pencegahan jenayah bersama ahli PK Kg Masin dijalankan di kawasan bangunan dan sekitar Kg Masin bersama Focal Point Balai Polis Limau Manis diketuai oleh Koperal 4044 Pg Md Iskandar Shah bin PDP Haji Salim. Turut hadir menyertai rondaan Pemangku Ketua Kg Masin, Yang Mulia Ahmad bin Haji Tudin bersama 3 orang ahli PK. 

TEMBURONG – Pengawasan Kejiranan Kg Puni dan Ujong Jalan, Mukim Bangar juga tidak ketinggalan bagi menjalankan program PK bersama keanggotaan Balai Polis Temburong. 

Seramai 18 orang terdiri daripada keahlian PK dan keanggotaan Balai yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis, Pg Hj Azanuddin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al-Haj. 

BELAIT – Dua rondaan pencegahan jenayah PK digerakkan oleh Focal Point Balai Polis Sungai Liang dan Balai Polis Labi. 

Rondaan bersama PK Kg Sungai Liang disertai oleh Pemangku Ketua Kg Sungai Liang, Yang Mulia Haji Mohd Ibrahim bin DMS Dian bersama 4 orang ahli PK. Mengetuai rondaan secara berjalan kaki di sekitar kawasan Pantai Sungai Liang, Sarjan 3392 Jailani Hj Johari. 

Sementara itu, Sarjan Mejar 2729 Gudin Bin Sunggoh mengetuai rondaan bersama PK Kg Bukit Sawat bersama Pemangku Ketua Kg Bukit Sawat, Yang Mulia Muhammad Bin Abdullah dan 2 orang ahli PK. 

Semasa rondaan dijalankan di kawasan bangunan kerajaan, tempat penurunan perahu serta rumah-rumah penduduk kampung tersebut, tidak ada menjumpai sebarang kejadian jenayah atau kegiatan yang mencurigakan berlaku. 

Program rondaan ini akan sentiasa dijalankan bagi mengurangkan kegiatan jenayah dan sekaligus membanteras perkara yang tidak bermoral bagi menjaga keamanan masyarakat. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI