SUNGAI LIANG, Jumaat 29 Mac 2019 – Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu laporan kes kecurian dalam rumah yang ditinggalkan kosong berlaku di alamat No. 3 Spg 28-8 Jalan Kecil, Kg. Sungai Bakong Lumut pada 29 Mac 2019. 

Dalam kejadian ini, rumah berkenaan telah dipercayai dimasuki dan telah kehilangan barangan yang dianggarkan lebih kurang berjumlah BND$30,000.00 termasuk  barangan elektrik serta perabot rumah. 

Hasil maklumat yang diperolehi, Balai Polis Sungai Liang setakat ini telah berjaya menahan 5 orang suspek warganegara tempatan iaitu 3 lelaki dan 2 perempuan yang mana salah seorang perempuan tersebut adalah suspek di bawah umur.  

Pada 4 April 2019, kelima-lima suspek tersebut telah dibawa ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 (Curi didalam rumah). 

Suspek-suspek berkenaan :  

1) Ak Aizuddin Pg Mohd Said, lelaki berumur 24 tahun dan tidak bekerja. 

2) Sofinah binti Haji Mohd Jublee, perempuan berumur 39 tahun dan tidak bekerja. 

3) Mohammad Salim bin Mohd Azwandi, lelaki berumur 29 tahun dan tidak bekerja. 

4) Muhammad Nurkhairullah bin Abdullah, lelaki berumur 19 tahun dan juga tidak bekerja. 

Hasil daripada perbicaraan pihak Mahkamah, suspek bernama Ak Aizuddin Pg Mohd Said dan Sofinah binti Haji Mohd Jublee direman di Balai Polis Sungai Liang, Mohammad Salim bin Mohd Azwandi di Balai Polis Tutong manakala Muhammad Nurkhairullah bin Abdullah di Balai Polis Seria dan suspek perempuan yang di bawah umur pula dilepaskan dengan ikat jamin polis. Kesemua suspek akan direman sehingga 8hb April 2019 bagi sebutan kes selanjutnya. 

Hasil tertangkapnya kelima-lima suspek ini, sebahagian daripada barang-barang bukti juga telah diperolehi serta dirampas bagi membantu siasatan kes ini. 

Pasukan Polis Diraja Brunei menyarankan kepada orang ramai terutama sekali kepada pemilik-pemilik rumah yang tinggal di kawasan luar bandar agar sering melawat ke rumah mereka dan jangan ianya ditinggalkan terlalu lama tanpa sebarang pengawasan, terutama sekali jika rumah tersebut masih tersimpan barang-barang yang berharga yang menjadikan tarikan kepada penjenayah untuk melakukan curi. 

Di samping itu juga Pasukan Polis Diraja Brunei menyarankan agar pemilik rumah berpesan kepada jiran untuk memantau jika rumah tersebut akan ditinggalkan kosong dalam tempoh masa yang lama. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI