KUALA BELAIT, Sabtu 30 Mac 2019 – Semangat kejiranan perlu diterapkan di dalam diri dan juga dari kalangan masyarakat. Dengan penerapan secara holistik, setiap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung dapat diatasi dengan secara berhemah dan bijak. Sebagai contoh, membuat permuzakarahan, bersama-sama menjaga keselamatan diri dan harta benda bersama kejiranan mahupun bergotong-royong, secara tidak langsung semua aktiviti-aktiviti sedemikian dapat mengeratkan silaturahim hidup berjiran. 

Sepertimana inisiatif yang sedang giat berjalan sekarang ini iaitu Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam hala tuju dan strategi bagi menjadikan negara ini penuh dengan kesejahteraan dan keharmonian. 

Dalam pada itu, Focal Point PK Balai Polis Kuala Belait telah mengerakkan aktiviti rondaan pencegahan bersama PK Kg Sg Teraban yang dihadiri oleh Pmk Ketua Kg, Yang Mulia Zaini bin Hj Kaderi beserta 2 ahlinya. 

Rondaan tersebut bermula dari kawasan Balai Raya, di sepanjang kawasan Sungai 2 sehingga Sungai 7, kawasan Rasau serta rumah-rumah kediaman persekitaran kampung.  

PK Kg Labi II juga sama-sama menyertai rondaan yang diketuai oleh Sarjan Mejar 2729 bersama Ketua Kg Labi II, Yang Mulia Hj Matussin bin Matzin. Rondaan ditumpukan di kawasan taman peranginan serta rumah-rumah penduduk di kawasan berkenaan. 

TUTONG – Empat (4) program rondaan PK telah dijalankan di sepanjang hujung minggu ini. Antaranya bersama PK Kg Danau, PK Kg Sengkarai, PK Sg Kelugos dan PK Kg Bekiau/ Pengkalan Mau. 

Keseluruhan rondaan melibatkan Pegawai dan Penolong Pegawai Menguasa Balai, Ketua-ketua Kg dan Ahli-ahli PK. Di sepanjang rondaan tidak menemukan sebarang kegiatan-kegiatan yang mencurigakan. 

TEMBURONG – Seramai 5 anggota dan 8 ahli PK Kg Puni telah pun mengerakkan rondaan pencegahan PK di kawasan tadahan Kg Puni dan Ujong Jalan, Mukim Bangar. 

Mengetuai pencegahan jenayah, Penolong Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor percubaan Iman Aqilah Fikriah bte Hj Mohd Syafiee. Beberapa lokasi telah pun dijalankan rondaan iaitu di kawasan bangunan-bangunan kerajaan, rumah-rumah kosong, kawasan penurunan perahu dan persekitaran ujong jalan. Rondaan yang dijalankan pada waktu petang tersebut tidak ada menemukan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang. 

BRUNEI DAN MUARA – Sebanyak 5 rondaan juga dijalankan di sepanjang hujung minggu yang melibatkan beberapa kampung yang aktif dengan program PK ini antaranya, PK Kg Pancha Delima, PK Kg Sengkurong ‘A’, PK STKRJ Lambak Kiri, PK Kg Kulapis, PK Kg Rimba dan PK STKRJ Kg Rimba, Mukim Gadong A. 

Program rondaan ini akan terus dipergiatkan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat awam bahawa keamanan dan keharmonian Negara ini adalah tanggungjawab yang perlu dipikul dan dipupuk bersama-sama. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI