BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 28 Mac 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Balai Polis Seria telah menghadapkan 3 orang suspek ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini melibatkan kegiatan kes curi. 

Kejadian telah dilaporkan pada 24 Mac 2019 melibatkan pecah masuk ke dalam sebuah rumah serta kehilangan 1 set televisyen dipercayai dicuri berlaku di Jalan Keruak, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Panaga, Seria. 

Berikutan dengan laporan tersebut keanggotaan special duties Balai Polis Seria dan kerjasama daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Belait telah menjalankan pencarian dan berjaya menahan 3 orang yang dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan bersama penemuan barang bukti. 

Ke semua suspek yang terlibat merupakan warganegara tempatan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. 

1 – Iskhandar Dzulkarnain bin Mohd Suffian, berumur 22 tahun 

2 – Muhammad Nurkhairullah bin Abdullah, berumur 18 tahun 

3 – Muhammad Salim bin Mohammad Azwandi, berumur 29 tahun 

Ketiga-tiga suspek akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 380 (curi dalam rumah) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Hasil daripada sebutan kes, tertuduh bernama Iskhandar Dzulkarnain telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 6 bulan di Penjara Maraburong bermula pada tarikh 28 Mac 2019. Manakala, tertuduh bernama Muhammad Salim dan Nurkhairullah dijadikan sebagai saksi dan dilepaskan tanpa syarat. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang awam bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan tegas dan akan menghadapkan ke muka pengadilan kepada sebarang individu atau kumpulan yang melibatkan diri dengan kegiatan jenayah di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI