BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 27 Mac 2019 – Pada 25 Mac 2019, Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menjalankan satu penangkapan ke atas rakan tertuduh yang sebelum ini dalam pencarian pihak polis berhubung kes curi dan pecah masuk ke sebuah syarikat yang dilaporkan berlaku pada 20 Mac 2019 di kawasan Syarikat Tapak Perindustrian, Jalan Setia Diraja Kuala Belait. 

Rakan tertuduh yang berjaya diberkas merupakan seorang lelaki tempatan bernama Haji Hazmie bin Haji Hussin berumur 47 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan. 

Pada hari ini 27 Mac 2019, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 457 (Memecah Masuk Ke Dalam Bangunan pada waktu malam) dan seksyen 427 (Rosak Barang) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Pihak Mahkamah telah bersetuju bagi kes ini dipindah ke Mahkamah Perantaraan untuk disatukan perbicaraan bersama rakan tertuduh Mahmud bin Mahari. Manakala tertuduh akan direman di Penjara Maraburong sehingga sebutan kes selanjutnya yang akan berlangsung pada 2 April 2019 jam 2 petang. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI