MUARA, Sabtu 23 Mac 2019 – Hubungan persahabatan yang dijalin di antara pihak Polis melalui Program Pengawasan Kejiranan (PK) bersama Masyarakat Awam merupakan pemangkin kepada jentera yang kukuh dalam matlamat bersatu bagi usaha mengekang apa jua kegiatan jenayah yang bakal berlaku di persekitaran kampung.
Sepertimana usaha kerjasama yang sedang dipupuk oleh PK Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Panchor Mengkubau bagi mewujudkan talian pemuafakatan di kalangan penduduk kampung melalui aktiviti riadah berbasikal bersempena menyambut ulang tahun ke 3 penubuhan PK di kampung berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Yang Mulia Penguasa Kanan Polis (Snr Supt) Husaini bin Hj Matzin beserta keanggotaan balai yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis (ASP) Zamri Salleh bin Haji Mahmud.
Mewakili PK RPN Kg Panchor Mengkubau ialah Pemangku Ketua Kampong, Yang Mulia Mohd Hilmy bin Hj Ahmad bersama ahli-ahli PK Kampung.
Program aktiviti sepertinya akan sentiasa dijalankan oleh ahli-ahli PK di seluruh negara bagi usaha galakan dan menarik minat penduduk negara ini untuk ikut serta ke dalam program PK bagi sama-sama mendokong matlamat ‘Bersama Masyarakat Mencegah Jenayah’.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
