BRUNEI MUARA, Sabtu 23 Mac 2019 – Berikutan  daripada rakaman video yang tersebar di media sosial berhubung sebuah kenderaan yang telah dicuri oleh seorang individu yang tidak dikenali di kawasan Kedai Runcit Seri Malar Jaya, Kampong RPN Tungku pada 20 Mac 2019 sekitar jam 8.57 malam yang lalu. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah telah dikerah bagi menjalankan siasatan mengenainya. Hasil daripada siasatan awal pihak polis telah mendapati kenderaan yang telah dicuri dalam keadaan tidak berkunci dan enjin kereta yang tidak dimatikan. 

Walaubagaimanapun, pada 21 Mac 2019 hasil daripada maklumat orang awam telah berjaya menemukan kembali kenderaan yang dicuri dalam keadaan yang telah diubah suai diletakkan di alamat No 30 simpang 74 STKRJ Katok B, Daerah Brunei dan Muara. 

Siasatan juga telah berhasil menahan seorang suspek bernama Azman @ Asrol bin Jaya berumur 39 tahun warganegara tempatan yang dipercayai terlibat dengan kejadian. Beberapa barangan bukti turut ditemui di beberapa lokasi yang berasingan. 

Kesemua barangan bukti telah ditemukan kembali dan suspek dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 (Curi), Seksyen 426 (Rosak Barang) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan di bawah Seksyen 89 (C) Akta kesalahan Lalulintas Penggal 68. 

Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah meluluskan bagi permohonan reman ke atas tertuduh sehingga 26 Mac 2019 pada jam 9 pagi untuk jatuh hukuman. 

Turut sama bagi membantu penemuan kenderaan ini ialah daripada risikan yang dijalankan oleh Jabatan Perisikan Jenayah serta daripada Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, PPDB. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa meletakkan kenderaan mereka, memastikan kenderaan tidak ditinggalkan dalam keadaan enjin kereta tidak dimatikan walaupun dalam masa yang singkat serta dalam keadaan berkunci. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI