SENGKURONG, Rabu 20 Mac 2019 – Dengan matlamat utama ‘mencegah jenayah bersama masyarakat’ Pengawasan Kejiranan (PK) Balai Polis Sengkurong bersama ahli PK Kg Sengkurong ‘A’ telah berhasil membuat penemuan barangan tegahan semasa membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan Bangunan Komersil Block B, Sengkurong A. 

Hasil rondaan di kawasan berkenaan telah menemukan sebuah peti sejuk yang terbiar dan apabila dijalankan pemeriksaan telah menemukan beberapa katon rokok berbagai jenama tersimpan didalamnya dan juga beberapa katon yang diletakkan di dalam longkang. 

Dengan penemuan tersebut, Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah dihubungi bagi menjalankan siasatan serta membuat rampasan. 

Memang tidak dinafikan lagi bahawa semangat dan kerjasama PK dari kalangan masyarakat ini boleh mencegah dan membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan persekitaran kampung. 

Pasukan Polis Diraja Brunei melalui program PK ini akan sentiasa berusaha dalam menambahbaik dan mempertingkatkan strategi bagi menarik orang ramai untuk ikut serta di dalam PK dalam sama-sama bertanggungjawab menjaga dan mengawasi kediaman dan kampung masing-masing. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI