BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 21 Mac 2019 – Seramai 109 rekrut konstabel dan rekrut polis tambahan Skuad 1 Tahun 2018 yang menjalani latihan asas selama beberapa bulan telah menamatkan latihan mereka diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Polis Konstabel Lelaki dan Wanita Skuad 1 Tahun 2018 dan Rekrut Polis Tambahan Skuad 1 Tahun 2018 bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).   

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepujian kepada rekrut-rekrut terbaik ialah Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.  

Rekrut 6599 Siti Nurul Fazzidah @ Rosnani binti Johari dipilih sebagai Pelatih Terbaik dalam Semua Jurusan dan Undang-Undang dan Pekerjaan Polis bagi Rekrut Polis Konstabel Wanita Skuad 1 Tahun 2018.   

Manakala Pelatih Terbaik dalam Kawad dan Latihan Luar bagi Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1 Tahun 2018 ialah Rekrut 6569 Mohammad Zulhairi bin Omarali.   

Sementara itu, Rekrut APO 7116 Muhd Nor Hamzeha bin Haji Mohamad dipilih sebagai Pelatih Jurusan Terbaik bagi Rekrut Polis Tambahan Skuad 1 Tahun 2018.   

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam serta Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pengarah, Timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota-anggota PPDB serta ahli keluarga rekrut yang menamatkan latihan.   

Bagi 109 orang rekrut berkenaan iaitu seramai 59 rekrut lelaki, 22 rekrut wanita daripada Skuad 1 Tahun 2018 pengambilan polis konstabel dan seramai 28 rekrut lelaki daripada Skuad 1 Tahun 2018 pengambilan polis tambahan telah berjaya menempuh segala dugaan dalam latihan asas untuk menjadi seorang anggota polis yang terlatih.   

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Imam Surau, Ibu Pejabat Polis Gadong, A/Sgt 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.   

Kemuncak upacara tersebut diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta mara ke hadapan untuk diperhati semula.   

Aturcara seterusnya majlis ramah mesra di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis dan tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada rekrut-rekrut yang berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai bersama para rekrut yang diraikan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS  

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI